PETIKAN video tular di Facebook menunjukkan kebakaran belukar.
PETIKAN video tular di Facebook menunjukkan kebakaran belukar.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sedang mengesan dua individu untuk memberi keterangan berhubung satu video tular berkaitan kebakaran belukar yang berlaku bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, malam tadi.

JBPM Kedah pada kenyataan hari ini berkata, video tular melalui Facebook (FB) berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan perbualan antara seorang lelaki dan wanita berhubung kebakaran itu.

Melalui perbuatan itu, mereka dipercayai turut mengeluarkan kata 'Bomba dekat ni ja tak tau' yang turut mendatangkan kegusaran orang awam.

Berdasarkan kenyataan itu, pada 8.18 malam, BBP Alor Setar menerima panggilan menerusi MERS 999 berhubung kebakaran belukar berhampiran wad psikiatrik Hospital Lama Alor Setar

Kebakaran itu membabitkan longgokan sampah yang dilakukan orang awam sebelum ia merebak ke kawasan berhampiran.

Dua jentera daripada BBP Alor Setar kemudiannya memadamkan kebakaran di belakang hospital lama manakala sebuah lagi jentera melakukan pemadaman daripada belakang BBP Alor Setar.

Namun, ketika proses pemadaman berjalan, api marak daripada belukar menghampiri BBP Alor Setar.

Ketika itulah video berkenaan yang dipercayai dirakam secara langsung melalui Facebook individu terbabit ditularkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 51 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 iaitu mengganggu pegawai bomba dalam menjalankan tugas.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi atau menyebarkan video terbabit bagi mengelak kegusaran awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 1:50 PM