ANTARA rokok dan minuman keras yang dirampas. FOTO Melvin Joni
ANTARA rokok dan minuman keras yang dirampas. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas 821 karton rokok seludup menerusi Op Libas yang dijalankan selama dua hari sejak semalam.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, pada jam 1 tengah hari tadi, Cawangan Risik Kompeni C Batalion 10 PGA, Sri Aman merampas 650 karton rokok putih pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM97,000 termasuk cukai.

"Rampasan dibuat hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Jelukong, Engkelili yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan barang tanpa cukai itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan individu dilakukan kerana setelah menunggu hampir satu jam, tiada pemilik datang ke lokasi.

Mancha berkata, pada jam 3.10 petang semalam, sebanyak 133 karton rokok putih pelbagai jenama, 38 karton rokok kretek dan 107 kotak minuman keras pelbagai jenama dirampas dengan anggaran nilai lebih RM120,000.

Katanya, tangkapan dibuat menerusi serbuan oleh Cawangan Risik Batalion 12 PGA, Miri ke atas sebuah rumah dua tingkat di Kampung Pemindahan, Marudi yang disyaki dijadikan stor penyimpanan barangan seludup berkenaan.

"Kesemua rokok dan minuman keras ini dijumpai disimpan di dalam stor rumah berkenaan serta di dalam kenderaan yang diletakkan di hadapan stor," katanya.

Dalam kes berlainan, Mancha berkata, pada Isnin lalu, Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu merampas 40 batang kayu balak termasuk sebuah jengkaut dan jentolak yang digunakan dalam kegiatan pembalakan haram di Batu 40, Jalan Sibu-Selangau.

Katanya, seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik jengkaut dan jentolak berkenaan turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang berkaitan aktiviti pembalakan yang dijalankan di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua pekerja pembalakan haram itu berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam serbuan pada jam 5.30 petang.

Katanya, nilai rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah RM505,000 dan kes diserahkan kepada Jabatan Hutan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sepanjang Op Libas sehingga semalam, PGA Briged Sarawak merekodkan 71 kes bernilai lebih RM21 juta dengan membabitkan jumlah tangkapan seramai 163 orang terdiri daripada 107 rakyat tempatan dan 56 pendatang asing tanpa izin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:42 PM