KAYU balak pelbagai saiz dirampas daripada sebuah kem pembalakan haram di Jalan Bukit Engkrabai, Lubok Bemban, Mukah. FOTO Ihsan PGA Sarawak
KAYU balak pelbagai saiz dirampas daripada sebuah kem pembalakan haram di Jalan Bukit Engkrabai, Lubok Bemban, Mukah. FOTO Ihsan PGA Sarawak
Melvin Joni

Kuching: Sebanyak 80 batang kayu balak pelbagai saiz dirampas daripada sebuah kem pembalakan haram di Jalan Bukit Engkrabai, Lubok Bemban, Mukah, semalam.

Turut dirampas tiga jengkaut, sebuah lori, gergaji rantai, dua pam air serta jana kuasa elektrik menerusi serbuan Operasi Libas yang dijalankan pasukan Cawangan Risik Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu itu.

Komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM793,000.

"Dalam serbuan yang dijalankan, pasukan serbuan turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an yang yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pembalakan haram berkenaan.

"Tangkapan ini adalah satu lagi siri kejayaan besar dalam Operasi Libas," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mancha berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 96, Ordinan Hutan Sarawak 2015.

Menurutnya dalam sepanjang pengoperasian yang dilaksanakan sejak awal tahun hingga 17 November ini, PGA Briged Sarawak mencatatkan kejayaan bernilai lebih RM35 juta dengan merekodkan sebanyak 149 kes yang membabitkan 412 tangkapan terdiri daripada 182 warga tempatan dan 230 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 12:38 PM