Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan kutipan hasil melebihi RM5 bilion pada tahun ini susulan inisiatif pendigitalan yang dilaksana.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim berkata, tahun lalu kutipan hasil JPJ berjumlah RM4.9 bilion dan 64.5 peratus perolehan disumbang melalui pembayaran cukai jalan dan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Katanya, inisiatif pendigitalan yang dilancarkan baru-baru ini memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan JPJ tanpa hadir ke pejabat.

"Kutipan hasil JPJ adalah antara tertinggi negara selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kalau ikut statistik tahun lepas, kita berjaya kutip purata RM11 juta sehari," katanya selepas merasmikan Rumah Kios dan Sambutan Aidilfitri Peringkat JPJ Terengganu di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin.

 Zailani Hashim, (tengah) ketika menghadiri Majlis Perasmian Rumah Kios dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Terengganu. FOTO NAZDY HARUN
Zailani Hashim, (tengah) ketika menghadiri Majlis Perasmian Rumah Kios dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Terengganu. FOTO NAZDY HARUN

Terdapat 201 Rumah Kios JPJ di seluruh negara dan mengutip hasil RM120.7 juta menerusi perkhidmatan tersebut.

Dalam pada itu, Zailani berkata, hingga 12 Mei lalu, seramai 9,564 pemilik lesen telah memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh maksimum 10 tahun.

"Selain dapat memperbaharui lesen untuk tempoh 10 tahun sekali gus, mereka juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerana memperoleh diskaun bayaran 10 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 2:20 PM