Datuk Zailani Hashim, menunjukkan lesen memandu miliknya melalui applikasi MyJPJ ketika ditemui media pada Program Bantuan Lesen Memandu (Mylesen) Peringkat Adun N71 Tanjung Batu Tawau, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Datuk Zailani Hashim, menunjukkan lesen memandu miliknya melalui applikasi MyJPJ ketika ditemui media pada Program Bantuan Lesen Memandu (Mylesen) Peringkat Adun N71 Tanjung Batu Tawau, di sini, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) mampu menangani isu pemalsuan dan lesen terbang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan itu dapat membanteras kegiatan pihak tidak bertanggungjawab termasuk 'scammer' mahupun ejen (orang tengah) yang menjadi dalang membabitkan isu itu.

Menurutnya, LKM dan LMM telah melalui transformasi daripada bentuk lesen fizikal kepada lesen digital yang akan dipaparkan, serta boleh diakses melalui aplikasi MyJPJ.

"Selain itu, melalui penggunaan alat 'Smart Mobile Enforcement Device (SMED)' kita mampu mengesan sebarang bentuk pemalsuan.

"Dengan pendigitalan ini, banyak perkara boleh ditangani selain membendung sepenuhnya kegiatan pemalsuan lesen termasuklah 'defacement' (mengubah wajah) dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bantuan Lesen Memandu (Mylesen) Peringkat Dun Tanjung Batu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu Datuk Andy Muhammad Suryady Bandy dan Pengarah JPJ Sabah, Datuk Abdul Rahman Mohd Zakaria.

Mengenai program katanya, program bantuan Mylesen melalui beberapa siri penjenamaan bermula dengan Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang bermatlamatkan membantu masyarakat luar bandar, terutama golongan B40 untuk mendapatkan lesen motosikal pada kos minimum.

Sementara itu, Andy Suryadi berkata, seramai 491 peserta menerima manfaat daripada program Mylesen di kawasannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 4:16 PM