Siti Rohana Idris


Tumpat: Sejak 11 tahun lalu, hidup seorang wanita dari Kampung Berangan, di sini, hanya terlantar di katil selepas lumpuh akibat kemalangan jalan raya.

Kemalangan motosikal kerana terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada malam 2012 menyebabkan Hasnini Zaidura Mohd Hanafiah, 39, mengalami kecederaan teruk di tulang belakang.

Dia kini lumpuh dari pinggang ke bawah selain menderita beberapa komplikasi lain termasuk jangkitan kuman di tulang pinggul serta darah beku di paru-paru dan bergantung sepenuhnya kepada adiknya, Izatul Izriqin, 33, yang berkorban menjaganya.

Izatul berkata, tugasnya bermula seawal pagi dengan memberi susu khas setiap empat jam sekali, mengelap seluruh tubuh wanita itu dan menyalin lampin pakai buang selain menjaga jadual pemberian enam jenis ubat.

"Kedua-dua tulang pinggul kakak dibuang disebabkan ada jangkitan kuman dan tugas saya semakin bertambah apabila perlu memantau lukanya kerana pernah bekas lukanya menjadi teruk akibat berlaku pergerakan.

"Kakak juga dipakaikan beg stoma kerana perutnya ditebuk dan doktor menjangkakan pemakaian alat itu akan kekal sepanjang hayatnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Izatul berkata, dia ikhlas menjaga kakaknya yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu walaupun terpaksa mengabaikan masa depan sendiri termasuk tidak terlalu memikirkan keinginan untuk berumahtangga.

Selain kakaknya, dia dan adik-beradik lain perlu menjaga kebajikan tiga anak Hasnaini yang mana dua daripadanya masih bersekolah manakala yang sulung berusia 17 tahun pula berhenti sekolah kerana kekangan kewangan.

Katanya, mereka berdepan dengan kos perbelanjaan bulanan yang besar untuk Hasnaini iaitu membabitkan susu khas, lampin pakai buang dan barang perubatan yang mencecah RM3,000 sebulan.

"Pernah saya menjual satu-satunya cincin emas yang saya ada untuk membeli barangan kakak kerana ketika itu keadaan sangat terdesak namun adik-beradik lain juga ada menghulur sikit sebanyak tapi mereka pun ada komitmen sendiri juga.

"Kadang-kala kami menebalkan muka meminta pinjam daripada rakan dan jiran tetangga selain ada yang datang dan memberi sedekah ziarah dan semua itu kami gunakan untuk biaya rawatannya.

"Kakak juga pernah 'ponteng' hadir temujanji doktor pakar di hospital kerana kami tidak mampu membayar kos ambulans untuk datang mengambilnya di rumah," katanya yang boleh dihubungi di talian 0189117123.

Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir menghulurkan makanan asas dan wang zakat.

IZATUL Izriqin mengelap badan kakaknya, Hasnini Zaidura yang lumpuh dari pinggang ke bawah sejak 11 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya. FOTO Siti Rohana Idris
IZATUL Izriqin mengelap badan kakaknya, Hasnini Zaidura yang lumpuh dari pinggang ke bawah sejak 11 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya. FOTO Siti Rohana Idris

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 2:49 PM