FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerana ingin menikmati asmara secara panggilan video, seorang pemuda berdepan mimpi ngeri selepas diugut 'pasangannya' itu.

Bukan saja kerugian wang ringgit, mangsa yang mahu dikenali sebagai Daniel, 21, mendakwa dia juga diugut untuk 'disantau' atau sihir menyebabkan hidupnya tidak keruan dan terpaksa meminta bantuan keluarga.

Daniel berkata, kejadian berlaku sekitar Ogos tahun lalu ketika dia berseorangan di rumahnya dan mengenali seorang wanita Indonesia menerusi sebuah laman sembang.

"Saya tidak pernah membuat panggilan lucah dengan mana-mana perempuan sebelum ini. Menerusi aplikasi itu saya lihat wanita itu menawarkan khidmat berkenaan.

"Selepas selesai, saya menerima video yang dirakam wanita itu berserta mesej ugutan meminta saya membayarnya sebanyak RM350.

"Bukan itu saja, dia juga menghantar gambar patung seperti susuk tubuh manusia. Jika bayaran tidak dibuat, dia mengugut akan berkongsi rakaman itu di media sosial dan menghantar santau kepada saya," katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Jabatan Aduan Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Syed Kamarul Al Masyhur.

Daniel berkata, dia memaklumkan bahawa tidak mempunyai wang sebanyak itu dan wanita terbabit meminta dia memasukkan RM50 ke dalam akaun bank yang tidak dikenali.

Sehari kemudian, wanita berkenaan meminta sebanyak RM50 lagi berserta ugutan sama selama seminggu berturut-turut.

"Tidak lama kemudian, dia meminta saya menyerahkan nombor akaun bersama salinan kad pengenalan. Hati saya mula rasa tidak sedap.

"Selepas itu saya menerima notifikasi sejumlah RM500 sudah dimasukkan ke dalam akaun saya dan wanita berkenaan meminta saya membelikan lima nombor pin e-dompet. Sehingga sekarang saya bimbang akaun itu digunakan secara tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Syed Kamarul berkata, pihaknya mendapati remaja berkenaan menjadi mangsa sindiket keldai akaun yang menggunakan modus operandi untuk mengumpan mangsa dengan tawaran panggilan lucah.

Katanya, mangsa yang takut selepas diugut akan menyerahkan butiran peribadi termasuk nombor akaun dan kad pengenalan, namun ugutan berkenaan tetap berterusan.

"Dalam kes ini, hanya kerana ingin mencuba panggilan asmara di laman sosial, mangsa terperangkap.

"Amal Sejagat menasihatkan orang ramai akan tidak terpedaya dengan sebarang promosi panggilan lucah dan 'manja' di aplikasi tertentu kerana ia berkemungkinan besar adalah jerat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 12:26 PM