Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Lelaki bukan sahaja kerugian kira-kira RM500, malah turut diugut video bogelnya yang dirakam seorang wanita warga asing ketika membuat panggilan video akan disebarkan.

Mangsa berusia 24 tahun itu yang berkenalan dengan wanita terbabit di satu aplikasi telefon pintar sebelum membuat panggilan video pada kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kedua-dua mereka yang melakukan panggilan itu beraksi lucah dan tidak berpakaian.

"Selepas selesai membuat panggilan video berkenaan, mangsa menerima pesanan ringkas dan diminta memberikan wang sebanyak RM3,000.

"Jika tidak berbuat demikian, mangsa diugut video bogelnya akan disebarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, mangsa yang takut kemudiannya memindahkan wang sebanyak RM500 ke satu akaun bank tempatan milik seorang lelaki.

"Selepas itu mangsa membuat laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memuat naik sebarang aplikasi di telefon bimbit kerana kes penipuan boleh berlaku di mana-mana. Segala maklumat penting di dalam telefon bimbit peribadi hendaklah disimpan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:14 PM