GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Kerana mengikutkan nafsu, eksekutif sebuah syarikat menjadi mangsa peras ugut apabila dia dipaksa memasukkan wang bagi mengelak rakaman videonya berkelakuan tidak senonoh disebarkan.

Bagaimanapun, mangsa berusia 51 tahun yang sebelum itu sudah menyerahkan wang berjumlah RM350 seperti diminta seorang lelaki membuat laporan polis selepas diugut memindahkan wang dalam jumlah sama buat kali kedua.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian pada mulanya berlaku jam 9 pagi, semalam selepas mangsa menerima panggilan video melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita tidak dikenali.

"Mangsa ketika itu berada di tempat kerjanya di Sungai Lalang dan dia yang menerima panggilan video terbabit terkejut apabila melihat aksi tidak senonoh seorang pemanggil wanita.

"Wanita berkenaan kemudian menggoda lelaki itu supaya melakukan perkara sama dalam panggilan video itu dan mangsa yang termakan pujuk rayu pemanggil terbabit hanya mengikut arahannya tanpa memikirkan niat jahat suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tidak lama selepas memutuskan panggilan mangsa menerima panggilan daripada nombor, namun dia terkejut kerana mendengar suara seorang lelaki yang bercakap dengannya dalam talian.

"Lelaki terbabit kemudian mendakwa mempunyai rakaman tidak senonoh mangsa ketika membuat panggilan video sebelum itu dan mengugut mahu menyebarkannya jika mangsa enggan memberikan wang seperti diminta," katanya.

Zaidy berkata, suspek meminta supaya mangsa memasukkan wang berjumlah RM350 jika tidak mahu video aksi jijiknya disebarkan dan lelaki berkenaan yang bimbang dengan ugutan itu hanya mengikut arahan diberikan.

"Bagaimanapun, suspek sekali lagi menghubungi mangsa tidak lama selepas itu dan meminta eksekutif berkenaan supaya memasukkan wang dalam jumlah sama kepadanya.

"Mangsa yang tidak berpuas hati dengan ugutan itu kemudian membuat laporan polis pada 12.30 tengah hari," katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis kini sedang mengesan dua suspek dipercayai terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita.

"Suspek kemungkinan sudah merancang dengan mencari mangsa menggunakan kaedah menggoda untuk melakukan aksi jijik ketika membuat panggilan video sebelum mengugut menyebarkan rakaman video mangsa sekiranya tidak mengikut arahan mereka.

"Namun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:02 PM