BANGUNAN BHEUU.
BANGUNAN BHEUU.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dicadangkan untuk menjadi Kementerian Undang-Undang seperti yang pernah dilaksanakan kira-kira 27 tahun lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata cadangan itu berasas terutamanya kini BHEUU mempunyai lebih 20 agensi dibawahnya termasuk membabitkan agensi penting seperti mahkamah dan parlimen.

Katanya, BHEUU kini memikul tugas besar terutamanya dalam membawa aspirasi dan transformasi yang dilakukan oleh kerajaan.

"Tranformasi yang dibawa oleh kerajaan ini tidak boleh lari daripada pindaan rang dan undang-undang, dalam keadaan ini BHEUU memikul tugas besar berbanding yang dilakukan dahulu.

"BHEUU ini peranannya pelbagai, bukannya memberi pada satu fokus sahaja. Buat masa ini cadangan asas untuk menjadikan BHEUU ini sebagai sebuah kementerian sudah ada, kini kita hanya tunggu masa sahaja sebelum ia dapat dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara," katanya.

Menurutnya, jika pihak berkenaan secara prinsipnya setuju, ia akan dibentangkan dalam Kabinet.

Proses ini memerlukan masa, ia memerlukan beberapa pindaan dan perubahahan khususnya membabitkan tenaga kerja, dan keduanya kena lihat juga daripada sudut kewangan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Undang-Undang), di BHEUU, hari ini.

BHEUU sebelum ini pada tahun 1957 dikenali sebagai Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan, ia kemudiannya ditukar nama menjadi Kementerian Keadilan pada tahun 1959.

Pada 1992, namanya ditukar menjadi Kementerian Undang-Undang sebelum ia dibubarkan pada 8 Mei 1995 dan hanya dikenali sebagai BHEUU.

Sementara itu, dalam ucapannya, Wan Junaidi berkata kajian awal berhubung cadangan menghadkan tempoh Jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan Undang-Undang Lompat Parti sudah dibentangkan pada 22 Disember lalu ketika sesi libat urusnya bersama semua pemimpin parti politik.

"Draf awal kerangka pindaan Perlembagaan berhubung perkara ini sedang dalam penelitian pemimpin semua parti politik," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pada tahun lalu, seramai 10,982 individu yang bankrap sudah dapat dilepaskan menerusi Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi, manakala aset yang dapat dihasilkan bagi kes kebankrapan adalah sebanyak RM210.9 juta yang dapat diagihkan kepada pemiutang untuk pembayaran dividennya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 4:19 PM