WAN Junaidi pada sesi undi belah bahagian bagi pergulungan perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
WAN Junaidi pada sesi undi belah bahagian bagi pergulungan perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rang Undang-undang Anti Lompat Parti akan dibentang pada Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 April ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menetapkan tarikh itu.

"Saya ada berkesempatan berbincang dengan Perdana Menteri dan kita bersetuju persidangan pada 11 April ini diadakan untuk membahaskan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti.

Kuasa di bawah Peraturan 11(3) ini memang kuasa dan hak Perdana Menteri dan berbincang dengan Speaker (Dewan Rakyat) tapi tarikh itu ditetapkan dalam masa 14 hari," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bangun mencelah dan bertanyakan bila Sidang Khas Parlimen itu akan diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak membuat persiapan.

Wan Junaidi berkata tidak ada masalah untuk Sidang Khas Parlimen itu diadakan pada bulan Ramadan memandangkan sebelum ini persidangan Dewan Rakyat pernah diadakan dalam bulan puasa.

"Yang Berhormat jangan bimbang bahawa Perdana Menteri beri jaminan bahawa kita akan bentangkan rang undang-undang ini dan biarlah Ahli Parlimen buat keputusan sendiri.

Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) pun cakap kalau tak habis (bahas) satu hari, dua hari pun boleh sidang khas ini," katanya.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat kali ini termasuk rang undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri yang mahu rang undang-undang itu disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu tidak dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini bagi membolehkan pandangan serta input semua pihak terbabit diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:42 PM