ANTARA penunggang motosikal ditahan di sekitar Parit Bunga, Tangkak, hari ini. FOTO AHMAD ISMAIL
ANTARA penunggang motosikal ditahan di sekitar Parit Bunga, Tangkak, hari ini. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Tangkak: Aksi 'Superman' dan 'zig zag' oleh sekumpulan mat rempit berakhir di balai polis selepas mereka ditahan dalam operasi awal pagi hari ini.

Mereka dikesan melakukan aksi berbahaya itu ketika menunggang motosikal kapcai di beberapa laluan utama oleh sepasukan pegawai dan anggota polis yang melakukan penyamaran.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, enam lelaki berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak bermula 11 malam hingga 7 pagi ini.

Beliau berkata, mereka dikesan menunggang motosikal dengan aksi berbahaya seolah-olah aksi 'sarkas' di sekitar 'hotspot' di jalan di Parit Bunga, di sini.

"Mereka turut berlumba sesama sendiri sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna lebuh raya, selain diri mereka sendiri.

"Suspek diekori polis sebelum ditahan di beberapa lokasi di sekitar Parit Bunga dan dibawa ke IPD Tangkak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis menyita 18 motosikal serta mengeluarkan saman ke atas pelbagai kesalahan jalan raya dan pengubahsuaian motosikal, selain penunggang tiada memiliki lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 2:51 PM