Antara remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson petang semalam. FOTO Ihsan Polis
Antara remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson petang semalam. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sembilan individu termasuk remaja berusia antara 17 hingga 22 tahun ditahan kerana menunggang motosikal sambil membuat aksi berbahaya ala 'Superman' di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, operasi dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

"Operasi bermula dari jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang yang dapat mengesan sembilan individu termasuk remaja berlumba sambil membuat pelbagai aksi berbahaya," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, kumpulan terbabit ditahan kerana membuat aksi berbahaya seperti berlumba dan bersaing sesama sendiri.

"Mereka juga dikesan melakukan pelbagai aksi seperti zig-zag di lorong lebuh raya, menunggang sambil meletak kaki atas motosikal, membongkok badan semasa menunggang dan aksi 'Superman'.

"Polis membuat tangkapan di dua lokasi berbeza iaitu di Kilometer 20 hingga Kilometer 25 SPDH (arah ke Port Dickson) dan Kilometer 15 hingga Kilometer 17 SPDH (arah ke Seremban)," katanya.

Aidi Sham berkata, turut dirampas sembilan motosikal digunakan mereka..

"Semua tangkapan dan kenderaan mereka di bawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 2:31 PM