SEBAHAGIAN daripada penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi berakhir hari ini. FOTO Ihsan Polis.
SEBAHAGIAN daripada penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi berakhir hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Aksi 'superman' dan 'zig zag' pada cuti hujung minggu oleh sekumpulan mat rempit berakhir di balai polis selepas mereka ditahan awal pagi hari ini.

Mereka dikesan melakukan aksi berbahaya itu sambil menunggang 'motor kapcai' di beberapa lebuh raya utama oleh sepasukan pegawai dan anggota polis yang melakukan penyamaran.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, seramai 15 lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun ditahan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman bermula 11 malam hingga 9.30 pagi ini.

Katanya, mereka dikesan menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban.

"Dalam operasi sama juga, suspek turut berlumba sesama sendiri sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna lebuh raya yang lain.

"Suspek diekori polis sebelum ditahan di beberapa lokasi di sekitar Senawang, Seri Kembangan dan berhampiran Plaza Tol Sungai Besi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Nilai dan Serdang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut mengeluarkan saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dan pengubahsuaian motosikal dalam operasi itu.

"Polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi berterusan untuk mencegah kegiatan ini selain memastikan jalan raya selamat untuk pengguna lebuh raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 12:07 PM