Suraya Roslan

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya bekerja dengan jujur dan berintegriti, berikutan hampir semua dasar negara tertumpu pada jabatan itu.

"JPM perlu menunjukkan contoh yang baik kepada kementerian lain dan rakyat mengenai pelaksanaan dasar kerajaan," katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga JPM di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan dasar kerajaan yang diumumkan berada di bawah punca kuasa JPM termasuk berkaitan ekonomi seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2022, agama dan isu berkaitan Sabah Sarawak.

"Seluruh mata rakyat tertumpu hampir keseluruhannya kepada JPM kerana perkara berkaitan dengan negara dan rakyat.

"Saya harapkan sokongan dan kerja keras semua pihak di JPM... daripada pegawai, pemimpin dan kakitangan keseluruhannya," katanya.

ISMAIL Sabri ketika menyampaikan amanat kepada warga JPM di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri ketika menyampaikan amanat kepada warga JPM di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama.

Ismail Sabri turut menyentuh mengenai warga JPM yang perlu membantu usaha kerajaan dalam mempromosikan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan tahun lalu.

Katanya, semua agensi di bawah JPM perlu memainkan peranan selaku 'tuan rumah' kepada konsep Keluarga Malaysia, melebihi apa yang dilakukan jabatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 11:42 AM