KENDERAAN yang membawa Ismail Sabri dilihat keluar dari Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama.
KENDERAAN yang membawa Ismail Sabri dilihat keluar dari Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Walaupun belum melapor diri secara rasmi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu sahaja mengangkat sumpah jawatan semalam, telah memulakan tugas di pejabatnya di Perdana Putra di sini, pada Ahad.

Diiringi oleh beberapa pembantu dan pegawainya dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), mereka berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di blok utama Perdana Putra, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, untuk perancangan harian dan masa depan serta mempersiapkan ucapan sulungnya kepada rakyat Malaysia.

Ismail Sabri dijadual menyampaikan ucapan secara langsung menerusi platform media pada 5.30 petang, Ahad.

Beliau tiba di Perdana Putra hampir jam 11 pagi, sebelum keluar selepas 3 petang dan turut melambai dari kenderaannya kepada anggota media yang berkumpul di luar bangunan itu, ketika meninggalkan pejabat.

Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ismail Sabri dijadual melapor diri secara rasmi di Bangunan Perdana Putra, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 5:18 PM