Suraya Roslan

Putrajaya: Kerajaan mengulangi pendirian untuk tidak melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat dan sektor ekonomi walaupun berlaku penularan Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa sama memulihkan ekonomi.

"Dua hari lalu, kerajaan sudah mengumumkan kita tidak membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lain.

"Cuma, (yang) kita masih menutup adalah sempadan negara. Kita terpaksa lakukan ini kerana kes di negara luar masih tinggi, disebabkan itu kita masih berhati-hati walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura.

"Kita juga sedang membincangkan VTL dengan Indonesia dan sepatutnya ke Thailand, tetapi kes meningkat maka, kita menggantung pergerakan ke negara ini dulu," katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri  ketika menyampaikan amanat kepada warga JPM di Bangunan Perdana Putra, hari ini. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri ketika menyampaikan amanat kepada warga JPM di Bangunan Perdana Putra, hari ini. FOTO Bernama.

Ismail berkata, walaupun sesetengah negara sudah mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelancong ke negara mereka, kerajaan masih mempertimbangkannya dan mungkin akan mengambil langkah sama.

"Kita lihat kalau dua dos sudah pun selesai, booster (dos penggalak) pun selesai, saya percaya kita boleh memberikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulanglah kepada KKM (Kementerian Kesihatan) untuk memberikan pandangan.

"Kita lihat kesannya kalau kerajaan terlalu keras, kesannya kepada industri pelancongan dan selepas diberikan booster, mungkin kita boleh relax sikit daripada segi SOP, tetapi masih memerlukan pandangan KKM," katanya.

Menurutnya, pelbagai khabar angin disebarkan di media sosial mengenai umat Islam tidak boleh pulang ke kampung untuk berhari raya.

"Saya memang sengaja sebut kita akan buka dan kita tidak akan tutup lagi dan kawal pergerakan sebab sudah ada dalam media sosial khabar angin mengatakan hari raya tidak boleh balik kampung.

"Disebabkan itu dua hari lalu saya umumkan tidak akan tutup dan rakyat boleh balik kampung untuk sambutan Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 11:31 AM