Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Umno dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi cabaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan Pas yang terus mahu bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Johor juga bukan satu kejutan terhadap parti itu.

"Bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila Pas memutuskan bekerjasama sekali gus bertanding bersama Bersatu pada PRN Johor. Ia sudah kita jangkakan.

"Umno dan BN sebenarnya belum membuat keputusan muktamad (kerjasama dengan Pas), namun apabila parti itu kelihatan sudah memuktamadkan keputusan apabila terus bersama Bersatu, kita akur.

"Pas yang memulakan langkah, bukan Umno atau BN yang memuktamadkan apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama Jawatankuasa Tertinggi Parti Makkal Sakti Malaysia dan ketua bahagian parti itu, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad Maslan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Semalam, Pas dan Bersatu dilaporkan akan bertanding pada PRN Johor menggunakan logo PN.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, tindakan Pas yang memilih untuk terus bersama Bersatu dan PN itu akan mengulangi apa yang berlaku pada PRN Melaka, November lalu.

"Kelihatannya tindakan Pas terus bersama Bersatu dan PN, seolah-olah mahu mengulangi apa yang berlaku di PRN Johor.

"Dalam dinamik politik semasa, Umno dan BN bersedia menghadapi apa jua kemungkinan termasuk berdepan PN semula.

"Ia tidak bermakna Umnodan BN 'over confident' tetapi hasil PRN Melaka sudah terbukti, namun kita akan tetap bersedia dengan strategi yang lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 1:43 PM