Omar Ahmad


Kota Tinggi: Seorang daripada 14 mangsa pendatang asing tanpa izin (Pati) yang terselamat dalam kejadian bot pancung karam di Perairan Tanjung Balau, Rabu lalu meninggal dunia, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mangsa lelaki sebelum itu dilaporkan berada dalam kritikal ketika ditemukan pada hari pertama insiden.

Menurutnya, mengikut laporan yang diterima, mangsa berusia 30-an disahkan meninggal dunia disebabkan lemas.

"Kami menerima berita sedih seorang mangsa yang selamat pada hari pertama, meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Kota Tinggi.

"Ia menjadikan jumlah mangsa yang selamat ialah 13 orang, masih hilang 16 orang dan 21 meninggal dunia," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, di sini, hari ini.

SIMON Templer Lo Ak Tusa ketika sidang media pada hari ketiga berkaitan operasi bot pancung dinaiki Pati yang karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SIMON Templer Lo Ak Tusa ketika sidang media pada hari ketiga berkaitan operasi bot pancung dinaiki Pati yang karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Pada Op Carilamat hari ketiga hari ini, satu lagi mayat dipercayai Pati ditemukan pada kedudukan 2.7 batu nautika di Perairan Tanjung Pungai.

Tanjung Pungai terletak kira-kira 23 kilometer dari Pantai Tanjung Balau, lokasi kejadian itu berlaku.

Mayat lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musuh, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Semalam, lapan mayat lagi ditemui pada hari kedua operasi dengan 11 mayat ditemui terdampar di Pantai Tanjung Balau pada pagi Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 5:14 PM