NIKMATI keindahan gua batu kapur yang unik di Gua Kelam.
NIKMATI keindahan gua batu kapur yang unik di Gua Kelam.
SECRET Garden antara habuan yang menanti di Gua Kelam.
SECRET Garden antara habuan yang menanti di Gua Kelam.
PADANG Besar destinasi beli-belah popular di Perlis.
PADANG Besar destinasi beli-belah popular di Perlis.
Suliati Asri


Terletak nun jauh di utara Semenanjung Malaysia, Perlis nyata negeri yang mempunyai pelbagai tarikan menarik yang mesti diterokai.

Namun, jaraknya dari ibu kota yang agak jauh membataskan kunjungan ke sana.

Bagaimanapun, keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan terkininya, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) mendekatkan jarak dan memendekkan masa perjalanan ke negeri itu.

Hanya mengambil masa kira-kira lima jam dari stesen KL Sentral ke Stesen Keretapi Arau, perjalanan yang jauh itu seperti tidak terasa dengan keselesaan yang ditawarkan kepada penumpang.

Sepanjang perjalanan, mata disajikan dengan kehijauan alam semula jadi yang cukup mengasyikkan.

Oleh itu, bagi anda yang ingin bercuti di Perlis, lima tarikan menarik di Perlis yang disenaraikan di bawah ini antara destinasi wajib dikunjungi.

1. Gua Kelam

Terletak kira-kira 36 kilometer (km) di utara Kangar, Gua Kelam antara gua batu kapur tertua di Malaysia.

Juga dikenali sebagai ‘Cave of Darkness’, gua ini dulunya terkenal dengan lombong bijih besi selain menjadi laluan penduduk Wang Kelian dengan Kaki Bukit.

Gua Kelam merangkumi dua gua iaitu Gua Kelam 1 serta Gua Kelam 2 dan terdapat terowong semula jadi sepanjang 370 meter.

Sungai yang mengalir dari dalam gua sehingga ke luar serta struktur batu gua yang unik antara tarikan unik Gua Kelam ini.

Menariknya, di dalam gua ini tersembunyi sebuah taman indah yang dipanggil ‘Secret Garden’.

Taman ini bagaikan habuan tambahan selepas melihat pelbagai bentuk batu kapur yang unik saat meneroka Gua Kelam ini.

Dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada jam 6 petang pada hari minggu serta cuti umum.

2. Padang Besar

Beli-belah juga salah satu faktor utama seseorang pergi bercuti. Berkunjung ke Perlis, Padang Besar salah satu destinasi popular.

Bersempadan dengan Thailand, banyak kedai menjual pelbagai barangan dengan harga murah seperti pakaian, peralatan dapur, permainan serta banyak lagi.

3. Taman Ular & Reptilia

Taman Ular dan Reptilia ini adalah lokasi wajib yang perlu dikunjungi di Perlis. Ini kerana taman ini menempatkan pelbagai spesies ular, reptilia dan haiwan lain.

Selain itu, ular tedung selar, ular katam tebu, landak, buaya dan lain-lain juga boleh dilihat dengan lebih dekat di sini.

Taman ini juga sangat sesuai untuk kunjungan seisi keluarga kerana memberikan banyak maklumat menarik mengenai hidupan yang dipamerkan di sini. Taman ini dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

4. Muzium Kota Kayang

Bagi mengetahui sejarah Perlis, kunjungan ke muzium ini pastinya berbaloi. Dulunya muzium ini dikenali sebagai Muzium Al-Marhum Kota Kayang dan ia terletak 6.5km dari Pekan Kangar.

Terdapat tiga galeri di muzium ini iaitu galeri am yang mempamerkan kronologi pembinaan Kota Kayang, galeri arkeologi yang memaparkan hasil penyelidikan sejarah Kota kayang dan sejarah sekitar Perlis manakala galeri Kedah/Perlis pula menceritakan salasilah diraja Perlis bermula dari Nabi Muhammad SAW dan replika bunga emas, kesan pendudukan penjajah serta banyak lagi koleksi diraja yang menarik.Muzium ini dibuka setiap hari bermula 9 pagi - 5 petang.

5. Bukit Keteri

Bukit Keteri antara destinasi alam semula jadi yang popular di sini. Bukit ini juga terkenal sebagai syurga buat penggemar sukan lasak dengan pembentukan batu kapur yang unik dan sesuai untuk aktiviti ‘rock climbing’.

Menariknya, Bukit Keteri ini dikelilingi sawah padi menghijau, sekali gus menjadikan ia destinasi unik yang harus di kunjungi di Perlis.

Pembentukan gua Bukit Keteri sebenarnya gua yang sangat besar di dalam kubah batu yang dikatakan boleh menampung jet jumbo.

Di puncak, pendaki akan memperoleh ganjaran yang sangat bermakna dengan panorama indah pemandangan tanah rata di sekeliling kawasan Bukit Keteri.

Untuk pengalaman yang lebih menakjubkan, mendaki di sebelah petang menghidangkan panorama indah matahari terbenam yang tidak mampu digambar dengan kata-kata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 12:01 AM