Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kawalan lebih ketat akan dilaksanakan di pintu masuk dan keluar negara, dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mengambil kira perkembangan jangkitan varian Omicron, langkah kawalan tersebut perlu ditambah baik termasuk menyenaraikan lebih banyak negara berisiko tinggi.

"Setakat ini, sebanyak 245 kes Omicron disahkan di Malaysia. Sebahagian besar kes jangkitan di negara kita ini masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.

"Kita akan ambil langkah kawalan lebih ketat, tetapi PKP secara besar-besaran tidak akan dilaksanakan semula," katanya pada sidang media selepas mesyuarat kuatert menteri Covid-19 di sini, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Saddique.

Hishammuddin berkata, tumpuan kerajaan kini ialah kembali kepada usaha transisi ke arah endemik yang tertangguh akibat beberapa isu sebelum ini.

Katanya, kerajaan juga memantau rapat status semasa pelaksanaan 'Vaccinated Travel Line' (VTL) dengan melihat ruang dan peluang untuk melaksanakannya dengan beberapa negara lagi termasuk Indonesia dan Thailand.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi Covid-19, bukan sahaja di negara-negara berkenaan tetapi juga di negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 7:15 PM