Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Mesyuarat Kuartet memutuskan untuk menangguhkan seketika usaha untuk beralih ke fasa peralihan ke endemik sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut mengenai varian membimbangkan (VOC) Omicron.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 merangkap Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Mesyuarat Kuartet ke-9 hari ini memberi tumpuan kepada VOC Omicron yang sedang menular ke seluruh dunia.

Menurutnya, kerajaan juga memahami bahawa Omicron sememangnya berisiko kerana ia boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas namun ia masih boleh dikesan melalui ujian makmal sedia ada.

"Buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat pemantauan rapi dan kesemua ahli mesyuarat Kuartet hari ini juga diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai tindakan segera yang diambil oleh KMM dan pendekatan seterusnya dalam masa terdekat berkaitan varian baharu ini.

"Biarpun belum ada kes varian ini dilaporkan di negara kita, KKM seperti diumumkan pada 27 November lalu, sudah melaksanakan tindakan awal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

GAMBAR fail,  Hishammuddin. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Hishammuddin. FOTO NSTP

Hishammuddin berkata, bukan itu sahaja, KKM juga sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan.

"Namun sementara itu, penting untuk saya maklumkan bahawa kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara yang melaporkan penyebaran varian Omicron.

"KKM akan mengumumkan perkara ini secara terperinci tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan ambil maklum bahawa varian ini bukan sahaja menular di Selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa negara antaranya, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

"Susulan penularan varian ini, buat masa ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam negara untuk negeri dalam Fasa 3 dan 4 masih kekal.

"Mesyuarat Kuartet juga memutuskan untuk menangguhkan seketika usaha untuk beralih ke fasa peralihan ke endemik sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut mengenai varian membimbangkan (VOC) Omicron," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai terus berwaspada dan berdisiplin dalam menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 5:30 PM