SINGAPURA. FOTO AFP
SINGAPURA. FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Singapura akan memudahkan rejim ujian saringan untuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat mulai Isnin (24 Januari 2022), dengan tidak perlu lagi jalani Ujian Pantas Antigen (ART) pada hari ketiga dan ketujuh dari tarikh ketibaan.

Pasukan petugas berbilang kementerian (MTF) mengenai Covid-19 juga memaklumkan bahawa pengembara tidak perlu menyerahkan keputusan ART mereka, tetapi perlu diuji negatif sebelum meninggalkan tempat mereka tinggal atau menginap.

"Kami akan memansuhkan peraturan itu. Dalam erti kata lain, pengembara akan menjalani ART kendiri tanpa pengawasan dari hari kedua hingga hari ketujuh sekiranya mereka berhasrat meninggalkan kediaman atau tempat penginapan mereka," kata Pengerusi Bersama MTF Gan Kim Yong pada sidang media yang diadakan secara maya di sini, semalam.

MTF juga mengumumkan bahawa pelancong yang tiba pada Isnin, dan lengkap divaksin sepenuhnya serta pulih daripada jangkitan Covid-19 - dalam tempoh 90 hari selepas terkena jangkitan, mereka akan dikecualikan daripada semua ujian dan keperluan tinggal di rumah (SHN) dengan syarat mereka dapat mengemukakan bukti yang sah.

Pada 31 Disember 2021, Singapura mengumumkan rejim ujian saringan tujuh hari dilanjutkan hingga empat minggu bagi pengembara yang tiba melalui VTL untuk memudahkan pengesanan kes Omicron yang diimport.

Dalam satu kenyataan berasingan kepada media, MTF berkata, kes import kini menyumbang kepada jumlah kecil daripada keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di Singapura, justeru langkah awal itu kini dilihat kurang relevan.

MTF juga mengumumkan akan terus mengekalkan had bilangan penumpang sebanyak 50 peratus bagi tiket penerbangan dan bas VTL ke Singapura buat masa ini.

Mengenai situasi semasa Covid-19, Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian menyatakan bahawa bilangan kes Omicron sudah meningkat secara mendadak terutamanya sejak beberapa hari lalu.

Beliau percaya bahawa kira-kira 75 peratus kes harian di negara itu membabitkan varian Omicron.

"Tetapi pada hakikatnya, kadar itu mungkin lebih tinggi, mungkin mencecah 90 peratus atau lebih. Omicron jelas mendominasi berbanding varian Delta di Singapura," katanya.

Gan berkata, memandangkan varian Omicron lebih mudah berjangkit, kemungkinan besar "kita akan melihat gelombang baharu yang ketara tidak lama lagi."

Beliau berharap orang ramai terus berwaspada terutama ketika musim Perayaan Tahun Baharu Cina.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 8:23 AM