LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Suraya Roslan


Putrajaya: Semua pihak perlu akur dan menerima keputusan dibuat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang merumuskan tiada kes salah laku terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SC sudah membuat keputusan itu dan semua pihak perlu akur dan menerimanya.

"SC sudah pun membuat keputusan, kita dah kata kita serahkan kepada SC kerana ia membabitkan pembelian saham.

"Jadi SC sudah membuat keputusan, hari ini pun SC sudah buat statement (kenyataan) mengatakan tidak ada kes, jadi kita terimalah keputusan SC," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua pihak tidak boleh mengikut kehendak sendiri sehingga menolak keputusan badan profesional itu

"Jangan kita minta dia (Azam Baki) disiasat, apabila dia disiasat, keputusan dibuat dan kita masih tidak puas hati.

"Jangan kita fikir untuk ikut kehendak kita.

"Kalau pembangkang rasa mesti ikut kehendak pembangkang, tidak bolehlah, dia kena terima keputusan badan profesional seperti SC," katanya.

Menurutnya, sebarang pertanyaan mengenai keputusan SC perlu dirujuk kepada suruhanjaya itu.

"Jadi saya rasa kalau ada apa-apa nak tanya lagi mengenai keputusan SC, boleh tanya SC," katanya.

SC pada 6 Januari lalu meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Azam Baki memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Kata SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

"Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan," kata kenyataan itu.

Azam dalam satu sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dilapor berkata, dalam penjelasannya kepada panel LPPR memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dipetik berkata, saham yang dibelinya adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham terbabit.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 10:20 PM