DADAH yang dirampas. FOTO ihsan Polis
DADAH yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Lelaki disyaki tokan dadah di FELDA Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, di sini, sejak tiga bulan lalu dicekup dalam kawasan semak, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, penganggur berusia 44 tahun itu ditahan sepasukan polis yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah di Bukit Tagar, Kerling pada 9.30 malam.

"Suspek yang melihat kehadiran polis cuba melarikan diri namun ditangkap.

"Lelaki itu merupakan tokan yang aktif di kawasan Felda Gedangsa dan menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Mei lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suffian berkata, pemeriksaan menemukan 24 paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 48 gram dan satu paket plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat 2.01 gram.

"Turut dirampas, wang tunai RM3,000 hasil penjualan dadah di kawasan berkenaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 4:17 PM