DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan peningkatan ketara bagi kluster tempat kerja dan kluster import.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja meningkat sebanyak 125 peratus iaitu lapan kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 kepada 18 kes pada ME ke-52 manakala kluster import meningkat 300 peratus dari satu kes kepada empat kes dalam tempoh sama.

Beliau berkata, peningkatan kluster tempat kerja itu menunjukkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) masih lagi di tahap yang rendah.

Katanya, ia tidak seharusnya berlaku memandangkan masyarakat di Malaysia lebih cakna akan kepentingan SOP dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat bahawa pematuhan kepada SOP masih perlu diamalkan walaupun populasi lengkap divaksinasi sudah mencapai 78.4 peratus.

"Berdasarkan data diperoleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes Covid-19 membabitkan varian Omicron dilaporkan dalam 110 negara sehingga 22 Disember lalu.

"Pada ME ke-51 dan ME ke-52 (19 Disember hingga 1 Januari), kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes berbanding Singapura (913 kes), Indonesia (8 kes) dan United Kingdom (49 kes).

"Oleh itu, KKM melaksanakan beberapa langkah bagi mengelak penularan dalam komuniti dan salah satu langkahnya sudah berkuat kuasa hari ini iaitu jemaah umrah yang baru tiba di Malaysia perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana (Nadma)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, bagi pengembara yang datang dari negara lain, mereka boleh membuat permohonan untuk kuarantin di rumah melalui aplikasi Home Quarantine Application (HQA) iaitu https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/index.

Menurutnya, pengembara dibenarkan kuarantin di rumah sekiranya diluluskan selepas penilaian risiko dilakukan oleh pasukan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) dan HQA.

"KKM ingin menegaskan bagi individu yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah supaya tidak menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga semasa dalam tempoh kuarantin.

"Ini bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 kepada pelawat dan seterusnya kepada komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 8:36 PM