Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pengembara selain dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dibenarkan untuk menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain menjalankan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RT- PCR sekurang-kurangnya 72 jam sebelum bertolak ke Malaysia, pengembara ini juga perlu ujian pengesanan menggunakan ujian RTK-Antigen (RTK-Ag) Professional pada hari ketiga dan hari kelima selepas ketibaan.

Katanya, bagi pengembara yang membuat ujian di Langkawi pada hari ketibaan di pulau itu, mereka dibenarkan tinggal di hotel sementara menunggu keputusan ujian bagi mengelakkan perhimpunan ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan akan menerima perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) secara digital dalam aplikasi MySejahtera.

"Sementara, pengembara dari negara selain lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dibenarkan memasuki Malaysia untuk melancong ke negeri selain Langkawi dengan mematuhi keperluan ditetapkan termasuk menjalani kuarantin wajib.

"Tempoh kuarantin bergantung kepada status vaksinasi, iaitu tujuh hari untuk individu dengan vaksin lengkap dan 10 hari sekiranya tidak menerima vaksin lengkap atau tidak menerima vaksin.

"Selain itu tempat kuarantin mengikut kelulusan yang diberikan oleh Home Quarantine Application (HQA), sama ada di rumah atau tempat kediaman atau stesen kuarantin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pengembara yang tidak diluluskan untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman perlu membuat tempahan bilik di hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin melalui MyTravelSafe di pautan https://safetravel.myeg.com.my/.

Beliau berkata, mereka yang datang dari negara berisiko tinggi dan menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman akan dipakaikan peranti pengesan digital.

Katanya, negara berisiko tinggi ini akan dimaklumkan oleh KKM berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa dan senarai akan diberikan kepada Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) berkaitan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, keperluan menjalani ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RT-PCR adalah ketika ketibaan dan pada hari kelima sekiranya kuarantin selama tujuh hari atau pada hari kelapan sekiranya kuarantin selama 10 hari.

Menurutnya, penilaian risiko akan dilakukan ke atas pengembara pada hari ketujuh atau hari ke-10 sebelum pelepasan kuarantin.

"Menerusi pengisytiharan ini, kenyataan yang diumumkan sebelum ini adalah terbatal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 8:50 PM