GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Seramai 299 individu dan pemilik premis perniagaan di sekitar Brickfields di sini, dikompaun RM299,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) malam tadi.

Kesemua kompaun itu dikeluarkan menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah 'Ops Ambang 2022' bagi memantau pematuhan SOP dalam kalangan orang ramai dan premis perniagaan pada malam ambang tahun baru.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, operasi itu menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai, antaranya sekitar Jalan Telawi di Bangsar, Solaris dan Bandar Baru Sri Petaling.

"Pasukan pematuhan memeriksa 637 individu serta 33 premis perniagaan termasuk restoran, kafe dan bar yang terdapat di sekitar kawasan terbabit.

"Hasilnya, 299 kompaun berjumlah RM1,000 setiap satu dikeluarkan kepada pihak yang melanggar SOP PPN Fasa Empat," katanya pada kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields melakukan tiga serbuan berasingan dan menahan dua lelaki bersama sejumlah dadah.

"Pada serbuan pertama di sebuah residensi di Jalan Klang Lama, kami menahan seorang lelaki dan merampas 169 gram serbuk MDMA, 27.5 gram Methamphetamine dan 101 pil ekstasi.

"Kami turut merampas 10 pil eramin 5 dan 18.31 gram serbuk ketamin dengan jumlah keseluruhan rampasan RM14,696," katanya.

Menurut beliau, tangkapan kedua berhampiran Pasar Seri Sentosa, Jalan Seri Sentosa di sini, membabitkan rampasan 45 gram heroin (RM1,575), 10 gram Menthamphetamine (RM1,000) dan 17 gram ganja (RM850).

Selain itu, Amihizam berkata, pihaknya turut merampas 350 kilogram daun ketum bernilai RM10,500 dan 8,230 mililiter ubat batuk dalam serbuan di Persiaran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail di sini, namun tiada tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:35 PM