PPS yang dibuka di Dewan Rakyat Sukan Tanah Merah, Pendang ketika banjir pada 1 November lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
PPS yang dibuka di Dewan Rakyat Sukan Tanah Merah, Pendang ketika banjir pada 1 November lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Asrol Awang


Kuantan: Sejumlah 5,693 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara mampu menempatkan 1.63 juta mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut yang bermula awal bulan ini hingga Mac depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, daripada jumlah itu, 134 PPS adalah berkapasiti besar, manakala 1,970 PPS berkapasiti sederhana dan 3,627 PPS pula berkapasiti kecil.

Katanya, semua pusat itu membabitkan fasiliti sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti setempat.

"Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan RM7.35 juta yang diagihkan kepada semua negeri bagi tujuan pembelian barang keperluan asas dan makanan sebagai persediaan.

"Pada masa sama, JKM juga bersiap siaga dan sentiasa bersedia untuk menggerakkan sumber seramai 20,467 orang iaitu masing-masing 5,299 pegawai JKM; 172 kaunselor dan pegawai psikologi; 1,867 sukarelawan kaunselor dan 13,129 sukarelawan JKM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Kuantan, di sini hari ini.

Dalam usaha mencegah penularan Covid-19, Rina berkata, JKM melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pusat Pemindahan Semasa Covid-19 yang dibangunkan bersama, membabitkan Agensi Pengurusan bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan dengan pengurusan bencana.

"SOP itu juga akan memberikan penekanan kepada aspek pengurusan makanan di PPS yang akan dibuat secara bungkus, saringan kesihatan, penjarakan fizikal dan kebersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 6:13 PM