Mohd Zuki Ali, meninjau Sri Medan dan Parit Sulong, di sini, antara kawasan terjejas banjir paling teruk di negeri ini, hari ini. FOTO IHSAN FB KSN
Mohd Zuki Ali, meninjau Sri Medan dan Parit Sulong, di sini, antara kawasan terjejas banjir paling teruk di negeri ini, hari ini. FOTO IHSAN FB KSN
BERNAMA

Putrajaya: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini turun padang membantu misi pascabanjir serta menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Batu Pahat, Johor.

Melalui hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Mohd Zuki memuat naik gambar penyerahan bantuan kepada mangsa banjir serta aktiviti membantu misi pascabanjir di daerah paling teruk terjejas dengan bencana itu.

Ketika turun padang, Mohd Zuki antaranya menyampaikan Sumbangan Rahmah Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Klinik Desa Sri Menanti kepada 360 keluarga yang terjejas akibat banjir serta Bakul Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Sekolah Kebangsaan Seri Sejati, Sri Medan, Batu Pahat.

Beliau turut menyantuni Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Balai Raya Kampung Parit Yusof.

"Saya menzahirkan rasa terima kasih kepada semua agensi kerajaan, sukarelawan penjawat awam yang berganding bahu membantu usaha memulihkan semula tempat-tempat yang terjejas. Semoga bantuan-bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PSPA Pasca Banjir ke Johor yang disertai sebanyak 1,520 penjawat awam yang mewakili pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Misi selama dua hari itu dikhususkan ke kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Anwar pada 17 Mac lalu mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 5:03 PM