MOHAMAD Hamdan menyampaikan sijil penghargaan liputan tragedi Batang Kali kepada wartawan Harian Metro, Raja Noraina Raja Rahim sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2023 di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin.
MOHAMAD Hamdan menyampaikan sijil penghargaan liputan tragedi Batang Kali kepada wartawan Harian Metro, Raja Noraina Raja Rahim sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2023 di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin.
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Kemahiran Unit Anjing Pengesan (K9) mengesan mayat mangsa dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting, Selangor, pada Disember lalu, menjadi bukti keperluan unit berkenaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menghadapi bencana seumpama itu.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sebanyak 12 anjing pengesan tambahan diperlukan bagi menguatkan pasukan berkenaan.

Selain itu, katanya, penambahan unit K9 itu bagi cadangan menambah cawangan di Utara semenanjung.

Menurutnya, JBPM sedang menunggu kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri untuk membolehkan tambahan aset hidup itu dilaksanakan.

"Ketika ini JBPM mempunyai 36 aset hidup (anjing pengesan) dengan masing-masing memiliki disiplin khas.

"Mereka bukan kumpulan anjing pengesan biasa sebaliknya mempunyai disiplin tertentu yang mana pakej setiap ekor termasuk latihan pengendali menelan belanja antara RM400,000 sehingga RM500,000.

"Kita memahami keadaan kewangan kerajaan sekarang ini tetapi 12 ekor itu sudah diberi indikator oleh EPU bahawa selepas pembentangan Bajet sekiranya diberi peruntukan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan 2023 di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, unit K9 amat membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) urban, SAR di hutan belantara serta forensik kebakaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM dalam perancangan menambah 150 jentera termasuk lima jentera Compress Air Foam System (CAFS) yang berkapasiti dan berteknologi tinggi selain kenderaan utiliti serta helikopter.

Kata beliau, beberapa balai bomba dan penyelamat yang dalam pembinaan dan sudah siap dibina termasuk di Tambun, Perak, akan dirasmikan dalam masa terdekat.

"Kita juga memerlukan tambahan kira-kira 3,000 anggota bomba bagi meningkatkan kekuatan pasukan untuk bertindak pantas dan cepat selaras penambahan aset serta balai bomba," katanya.

Katanya, kekuatan pasukan kini dibantu oleh Pasukan Bomba Bantuan dan Pasukan Bomba Sukarela yang menjadi antara pasukan terawal bertindak sekiranya berlaku kecemasan di kawasan tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 8:01 PM