Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiada keperluan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) PRK susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian malam tadi.

Speaker Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, kekosongan kerusi itu berlaku lebih daripada tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU-14) pada Mei 2018.

"Oleh kerana kekosongan ini berlaku lebih tiga tahun daripada PRU14, maka tiada PRK perlu diadakan.

"Selain itu tiada ada isu majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan maka mengikut fasal 23(5) Undang-Uundang Tubuh Kerajaan Negeri, tiada PRK di DUN Kempas," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Suhaizan yang sedang mengerjakan ibadah umrah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman.

Osman, 70, meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.45 malam tadi.

Pada 13 Oktober lalu, Osman, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok ringan dan pada November lalu beliau dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.

Bagaimanapun, pada 13 November lalu Osman dilaporkan kembali stabil tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri.

Osman adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu yang dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Allahyarham menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau adalah menteri besar bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 4:06 PM