Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan memiliki sepucuk pistol, peluru, sebilah keris dan melakukan rompakan berkumpulan, pada Oktober dan November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Ridzuan Hussin, 26, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol Revolver .38 Special CTG Heavy Barrel, Smith & Wesson dengan menyalahi undang-undang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (PLB) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki enam biji peluru berwarna perak bertulisan A USA 38 SPL tanpa permit senjata sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa memiliki sebilah keris berhulu serta bersarung kayu dengan ukuran kira-kira 19 sentimeter tanpa kebenaran sah. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah Proton Persona di tepi tali air di Kampung Keting, Gunong dekat Bachok, jam 1.30 pagi, 2 November lalu.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sepucuk pistol ke atas Ammar Hashim, 19, dengan melarikan sebuah motosikal Yamaha 15ZR, sebuah telefon bimbit, wang RM50, kad debit, kad pengenalan dan lesen memandu.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan di Kampung Pangkal Gong, Pulai Chondong dekat Machang, jam 6.15 petang, 29 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana memiliki sepucuk pistol menyalahi undang-undang dan lelaki itu turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 3:43 PM