MOHD Azli Sham Che Azmi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
MOHD Azli Sham Che Azmi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap tiga pertuduhan memiliki pistol, 10 peluru dan dua pedang samurai di tepi jalan di Kampung Kubang Edang Bechah Keranji, Melor di sini, 31 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Azli Sham Che Azmi, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki pistol semi auto jenama Zaroki tanpa kebenaran yang sah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didapati memiliki sembilan peluru jenis Usa 380 Auto 9mm dan peluru jenis PMC3 80 Auto 9mm tanpa kebenaran yang sah.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki dua pedang samurai tanpa kebenaran yang sah dari pihak berkuasa.

Dia didakwa mengikut seksyen 6(1)Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Kubang Edang, Bechah Keranji Melor pada jam 9.30 pagi, 31 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri memohon supaya anak guamnya dibenarkan untuk jaminan kerana lelaki itu menyara keluarga termasuk dua anak dan ibu bapa.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 3:56 PM