AB AZIZ Kaprawi. FOTO BERNAMA
AB AZIZ Kaprawi. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan dan bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi, yang dijangkiti Covid-19 sejak minggu lalu, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Anaknya, Muhammad Arafat, 37, berkata, ayahnya disahkan dijangkiti Covid-19, Selasa minggu lalu, sebelum dimasukkan ke hospital berkenaan, bagi rawatan lanjut.

Katanya, pada mulanya, keadaan ayahnya itu stabil dan dikuarantin di wad biasa di hospital berkenaan.

"Sehari selepas dimasukkan ke HSNI, keadaan ayah mula menurun sebelum dimasukkan ke ICU HSNI.

"Paras oksigen ayah semakin menurun semalam, namun ayah meminta tidak ditidurkan dahulu kerana mahu melakukan senaman pernafasan bagi memulihkan paras oksigennya.

"Sepatutnya, pagi ini ayah ditidurkan jika paras oksigennya masih turun.

"Namun Alhamdulillah, doktor baru memaklumkan tidak perlu menidurkan ayah kerana paras oksigennya meningkat semula pagi ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ab Aziz, 62, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno disahkan positif Covid-19 pada 14 Disember lalu sebelum dimasukkan ke HSNI Rabu lalu.

Isterinya, Datin Sabariah Tokimin turut positif Covid-19 namun menjalani kuarantin di rumah.

Ab Aziz memenangi kerusi Parlimen Sri Gading pada 2013 sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Raja selama dua penggal dan dilantik menjadi Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 10:03 AM