GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sebanyak 4,083 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat 2,715,847 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini sebanyak 98.3 peratus atau 4,014 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

"Baki 1.7 peratus bersamaan 69 kes adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

"Kes yang dilaporkan hari ini membabitkan 4,049 kes penularan tempatan dengan 34 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini terdapat 391 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 314 kes disahkan Covid-19 dengan 77 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes yang berada dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat sebanyak 215 kes iaitu 145 kes disahkan Covid-19 dengan 70 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Mengulas mengenai tiga kluster baharu yang dikesan oleh pihaknya hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kluster yang dikesan oleh pihaknya adalah sebanyak 6,077 dan sehingga kini 252 kluster masih aktif.

"Dalam pada itu, terdapat sebanyak 5,435 kes sembuh dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini. Ia menjadikan sehingga kini sebanyak 2,630,680 individu sudah pulih sepenuhnya daripada Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:35 PM