BEBERAPA penduduk membantu membawa kotak yang berisi kertas peperiksaan akhir tahun dalam kejadian banjir di Kampung Chemperai di Dengkil. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
BEBERAPA penduduk membantu membawa kotak yang berisi kertas peperiksaan akhir tahun dalam kejadian banjir di Kampung Chemperai di Dengkil. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
Noor Atiqah Sulaiman


Dengkil: "Saya hanya fikirkan kertas jawapan peperiksaan akhir tahun pelajar saya, itu sebab saya sanggup meredah banjir untuk pulang ke rumah.

Itu luahan Ruzita Che Him, 52, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang, Banting.

Ruzita berkata, ketika rumahnya mula dinaiki air, dia sudah meletakkan kertas peperiksaan subjek Geografi pelajarnya di dalam kotak dan meninggalkannya di atas meja.

"Saya hanya membawa kertas peperiksaan subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) sebelum keluar dari rumah.

"Namun disebabkan rasa tidak sedap hati, saya mengajak suami, Baharuddin Mohd Yonan, 61, serta anak untuk menjenguk kawasan berdekatan rumah dan mendapati kawasan rumah saya mula ditenggelami air," katanya yang menetap di Kampung Chemperai, Dengkil, di sini.

RUZITA. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
RUZITA. FOTO Noor Atiqah Sulaiman

Ruzita berkata, disebabkan risau dengan keadaan berkenaan, dia nekad berjalan sejauh lebih 600 meter meredah banjir yang sudah berada di paras pinggangnya.

"Tiba sahaja di rumah, air mula berada di paras pinggang. Syukurlah kertas peperiksaan pelajar saya dapat diselamatkan. Inilah pengalaman kali pertama saya meredah banjir sejak berkhidmat sebagai guru sejak 1996," katanya.

Katanya, sejak menetap di sini pada tahun 2007, rumahnya tidak pernah banjir kerana berada di kawasan yang tinggi.

"Namun mulai tahun lalu rumah mula dinaiki air dan kali ini paling teruk," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa lokasi dalam daerah Sepang mula dinaiki air sejak petang semalam susulan hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Langat melimpah.

Paling teruk terjejas adalah beberapa kawasan perumahan di sekitar Kota Warisan dan Dengkil.

Selain itu, persimpangan Kota Warisan menghala ke Bandar Baru Salak Tinggi, Nilai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga turut dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 5:55 PM