SHAFWAN membuka pili air yang keluar secara perlahan untuk mengisi bekalan air tambahan walaupun bekalan air sudah kembali pulih secara berperingkat ketika tinjauan gangguan bekalan air di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
SHAFWAN membuka pili air yang keluar secara perlahan untuk mengisi bekalan air tambahan walaupun bekalan air sudah kembali pulih secara berperingkat ketika tinjauan gangguan bekalan air di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid

Putrajaya: "Alhamdulillah lega gangguan bekalan air sekejap sahaja. Saya jaga ibu bapa yang sudah tua jadi sangat terkesan jika tiada air," kata Shafwan Zaidon, 27.

Rumahnya di Desa Pinggiran Putra, di sini, antara 463 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual di lima wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) iaitu Petaling sebanyak 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) sejak semalam.

Shafwan yang juga kakitangan swasta berkata, dia mula sedar tiada air di rumahnya semalam apabila balik kerja jam 7 petang.

"Paip yang disalur terus dari meter air sudah tidak mengeluarkan air.

"Namun air tangki masih ada. Lagipun kami sudah ubah suai tambahan satu tangki air lagi di atas binaan tandas sebab tahu Selangor selalu masalah air," katanya ditemui di rumahnya, hari ini.

Beliau yang masih bujang menjaga ayahnya, Zaidon Ali Musa, 70, dan ibu, Rubeah Jaafar, 65.

Sementara itu, pembantu tukang masak Restoran Ayam Kampung A Hassan Putrajaya, Zaidi Mohd Azmin, 28, berkata ketika buka restoran 6.30 pagi tadi belum ada air dan paip hanya mengeluarkan angin.

Namun pada 9 pagi, air sudah mula keluar mengalir perlahan.

"Kita berniaga restoran memang pening kalau tak ada air sebab ia kegunaan utama.

"Mujur gangguan air tidak berjadual dalam tempoh singkat," katanya.

Buruh, Mohd Ikram Abd Aziz, 39, yang tinggal di Dataran Iman, Sungai Merab pula berkata, dia sudah sediakan takungan air supaya tak menjejaskan rutin sekeluarga terutama membersihkan diri.

Ini kerana, katanya, dia mempunyai bayi berusia setahun selain tiga lagi cahaya mata.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan berkata bekalan air bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat bermula jam pagi hari ini kepada pengguna di kesemua kawasan yang terjejas dengan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata, Air Selangor sudah menjalankan ujian kualiti air dan ia mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, air terawat dari LRA Sg Semenyih juga disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 12:14 PM