Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Cuaca buruk menyebabkan radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM) gagal mengesan kemasukan bot pancung yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (Pati), sebelum ia karam dibadai ombak di perairan Tanjung Balau, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata, keadaan cuaca sejak dua hari lalu amat buruk, malah keadaan laut bergelora mengganggu transmisi radar SWASLA.

"Bot pancung yang karam semalam menggunakan empat enjin dengan jumlah 800 kuasa kuda, menyebabkan ia hilang selepas dapat dikesan pada peringkat awal.

"Radar SWASLA dapat kesan sebuah bot curiga sebelum kami menghubungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira jam 2 pagi semalam.

"Namun selepas itu ia hilang dari radar sebelum dikesan karam dibadai ombak kira-kira 20 meter dari Pantai Tanjung Balau, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada insiden pembolosan berkenaan akan menyebabkan integriti Ops Benteng di kawasan perairan Johor Timur terjejas, Simon menafikan perkara itu.

"Insiden yang berlaku ini tidak akan menjejaskan Ops Benteng malah ia akan diterus dan diperhebatkan bagi memastikan perairan Johor Timur tidak terus dibolosi.

"Namun berikutan faktor ekonomi serta kedudukan kawasan perairan Johor Timur yang sangat hampir Kepulauan Batam, Indonesia kita jangka kejadian seperti ini akan berlaku lagi di masa depan.

"Bagaimanapun kerjasama erat antara APMM, ATM dan PDRM yang mengawasi sektor masing-masing di perairan Johor Timur diharap akan mengurangkan pembolosan apatah lagi Ops Benteng sedang berkuat kuasa bagi mengawasi darat, laut dan udara Malaysia dari dicerobohi.

"Malah sistem radar SWASLA juga kini sedang menjalani proses naik taraf bagi memantapkan lagi pemantauan oleh APMM," katanya.

SIMON ketika sidang media hari kedua operasi mencari berkaitan kejadian bot pancung terbalik di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SIMON ketika sidang media hari kedua operasi mencari berkaitan kejadian bot pancung terbalik di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 5:32 PM