Izhar Ahmad (tengah) menyampaikan replika cek pencen penakat Perkeso buat Allahyarham Rozzana kepada bapanya, Mat Nanyan di Pejabat Perkeso Johor. FOTO OMAR AHMAD
Izhar Ahmad (tengah) menyampaikan replika cek pencen penakat Perkeso buat Allahyarham Rozzana kepada bapanya, Mat Nanyan di Pejabat Perkeso Johor. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Ibu bapa Rozzana Mat Nanyan, rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Korea Selatan pada 24 November lalu, dijangka mengunjungi kubur anaknya di negara berkenaan.

Bapanya, Mat Nanyan Ahmad, 70, berkata mereka merancang pergi ke Korea Selatan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Menurutnya, ketika ini hanya kakak tiri Rozzana iaitu Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, masih berada di negara berkenaan.

"Nur Diana dijangka pulang ke Malaysia pada 21 Disember ini, namun dia perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu sebelum boleh pulang ke rumah.

"Selepas itu, kami akan kumpul duit untuk membeli tiket penerbangan ke sana, mungkin hanya dua orang sahaja sama ada saya atau isteri bersama Nur Diana.

"Kami jangka (pemergian ke Korea Selatan) dalam tempoh enam bulan ini selepas semua urusan selesai untuk menziarahi kubur anak saya," katanya.

Mat Nanyan berkata demikian ketika ditemui pada program Sambutan Jubli Emas Perkeso Peringkat Negeri Johor 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad dan Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.

Allahyarham Rozzana menerima pencen penakat hasil caruman dibuat arwah ketika dia bekerja di negara ini.

Menurutnya, walaupun pencen penakat yang diterima bukan dalam jumlah yang besar, tetapi dia tetap bersyukur kerana dapat membantu meringankan beban keluarga.

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya itu dimasukkan ke Hospital Myongji akibat serangan asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak diserang sawan.

Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan akan menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana, manakala Nur Diana berlepas ke negara berkenaan pada 21 Oktober lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang untuk mengurus Rozzana.

Dia bagaimanapun tidak bertemu terus dengan adiknya kerana dikehendaki menjalani kuarantin selama 10 hari terlebih dahulu di sebuah hotel dekat Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 7:21 PM