JAI (kanan) mahu membantu Nur Diana mengumpul dana bagi menampung kos rawatan Rozzana. FOTO Ihsan  Muhammad Nor Khuzaifah Zohari.
JAI (kanan) mahu membantu Nur Diana mengumpul dana bagi menampung kos rawatan Rozzana. FOTO Ihsan Muhammad Nor Khuzaifah Zohari.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib rakyat Malaysia, Rozzana Mat Nanyan yang masih tidak sedarkan diri dan memerlukan dana bagi menampung kos rawatan di Hospital Myongji, Korea Selatan mendorong usahawan pakaian dan kasut, Muhammad Nor Khuzaifah Zohari mengumpul dana dengan mengadakan jualan amal barangan miliknya di Facebook (FB) dalam waktu terdekat.

Muhammad Nor Khuzaifah, 32 atau mesra disapa Jai yang menetap di Ansan, Korea Selatan sejak empat tahun lalu berkata, dia tidak tahu keadaan Rozzana, 35 sehingga terbaca hantaran kakak tiri wanita itu, Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46 di laman Fb Persatuan Perantau Korea, semalam serta laporan penuh di portal Harian Metro.

Tanpa berlengah, Jai terus berhubung dengan Nur Diana sebelum bertemu di hospital pagi tadi ditemani rakan niaga warga Korea Selatan, Oh Myung Jae, 29 atau Dollah dan Mohd Izhar Zoulkepli, 35 bagi mengetahui lebih lanjut keadaan Rozzana.

"Saya terdetik untuk menghubungi dan bantu Kak Dian (Nur Diana) kerana kasihan dengannya yang datang sendiri ke sini (Korea Selatan) untuk melihat keadaan Rozzana dengan lebih dekat.

"Sedihnya apabila Kak Dian kongsikan kebimbangannya dengan keadaan Rozzana dan kos rawatan yang akan meningkat seandainya berada lebih lama di sini.

"Kebetulan, saya juga rakyat Malaysia dan ada pengikut di laman FB niaga iaitu Saudagar JPKR jadi akan gunakan platform berkenaan untuk menjual kasut, pakaian serta koleksi peribadi lain bagi mengumpul dana sebelum menyalurkan hasil jualan bagi menampung kos rawatan Rozzana," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Jai, sasarannya adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin dana bagi meringan dan mempermudahkan urusan Nur Diana untuk melangsaikan bil hospital.

"Bil terkumpul setakat ini adalah 12,777,91 won (kira-kira RM44,840) dan pastinya meningkat lagi kerana esok Rozzana akan menjalani pembedahan.

"Jadi, saya amat berharap rakan dan pengikut di FB dapat memberi sokongan kepada jualan amal yang akan saya adakan nanti atau salurkan sumbangan terus kepada Kak Dian.

"Saya yakin rakyat Malaysia prihatin dan pemurah serta boleh bersama menyumbang bagi mengumpul dana buat Rozzana," katanya.

Sementara itu, Nur Diana ketika dihubungi berkata, Rozzana masih tidak sedarkan diri tetapi akan menjalani pembedahan esok yang mana doktor akan menebuk pada bahagian lehernya.

Katanya, mesin ventilator juga akan digantikan dengan yang baru bagi mengelak jangkitan kuman kerana sudah lebih sebulan digunakan.

"Bagaimanapun, doktor beritahu saya tidak perlu datang ke hospital, tambahan pula saya perlu melakukan ujian PCR untuk ke unit rawatan rapi (ICU).

"Jadi, saya akur dengan saranan doktor kerana perlu keluarkan duit lagi jika mahu menjalankan ujian PCR.

"Apa pun, terima kasih kepada Jai dan Dollah yang berusaha membantu saya di sini kerana saya kini sukar tidur lena memikirkan keadaan Rozzana serta harapan emak untuk membawanya pulang ke Malaysia," katanya.

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya dimasukkan ke Hospital Myongji selepas diserang asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon, Korea Selatan tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober lalu iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak terkena serangan sawan.

Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan akan berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana.

Nur Diana pula berlepas ke Korea Selatan pada 8.40 malam, 21 Oktober lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebelum transit di Singapura dan tiba di negara itu pada 9 pagi keesokan harinya.

Nur Diana bagaimanapun tidak dapat bertemu terus dengan Rozzana kerana dikehendaki menjalani kuarantin selama 10 hari terlebih dulu di sebuah hotel dekat Seoul.

Khamis lalu, portal Harian Metro sekali lagi menyiarkan kisah Nur Diana yang merayu bantuan daripada orang ramai termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantunya sekeluarga membawa pulang Rozzana ke Malaysia.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Nur Diana di talian 011-70346900.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:36 PM