Datuk Ranum Mina bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Opar,  ketika sesi temubual bersama Bernama di kampung Bagak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. FOTO BERNAMA
Datuk Ranum Mina bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Opar, ketika sesi temubual bersama Bernama di kampung Bagak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bau: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar disifatkan 'perang saudara' antara penyandangnya, Datuk Ranum Mina daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan anak saudara sendiri iaitu Billy Sujang yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kawasan itu yang majoriti masyarakatnya adalah Bidayuh menyaksikan pertarungan enam penjuru dalam pilihan raya kali ini berbanding empat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Ranum, 70, berkata beliau tidak boleh berada di zon selesa ketika berdepan lawan yang majoritinya calon muka baharu meskipun sudah menambat hati pengundi DUN Opar sejak 2006.

"Saya akui (PRN) kali ini mencabar. Saya tak boleh kata saya begitu selesa. Saya kata pada orang dan mereka yang masih sokong saya, kita perlu kerja lebih kuat lagi supaya kita dapat atasi lawan kita.

"PSB bertanding 70 kerusi kerana matlamat kita untuk ambil alih kerajaan. Kita nak hapuskan amalan pilih kasih kerana sekarang ini rasa seperti dianaktirikan (oleh kerajaan negeri). Selama ini pun, walaupun kita bersama kerajaan tapi peruntukan bagi pembangunan (yang diberikan kepada wakil rakyat) tak sama rata," katanya.

Pada 2016, Ranum bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan adalah penyandang bagi kerusi DUN Opar selama empat penggal.

Berdasarkan pengalaman dua dekad sebagai wakil rakyat, beliau mengakui ada ketika sumber kewangan tahunan untuk projek pembinaan infrastruktur di kawasan itu tidak mencukupi namun ia tetap dilaksanakan pada tahun berikutnya.

Dalam saingan kali ini, Ranum berkata beliau menerima keputusan Billy walaupun calon GPS itu aalah anak didiknya dalam gelanggang politik.

Billy Sujang bercakap kepada media selepas berkempen bersemuka di kampung Bitokan kira-kira30 kilometer dari pekan Bau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. FOTO BERNAMA
Billy Sujang bercakap kepada media selepas berkempen bersemuka di kampung Bitokan kira-kira30 kilometer dari pekan Bau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. FOTO BERNAMA

Tetap menghormati Ranum sebagai mentornya, Billy, 53, berharap kemenangan menyebelahi beliau bagi memastikan kerusi itu kekal menjadi milik parti kerajaan negeri.

Beliau berpendapat DUN Opar perlu dibangunkan dari segi infrastruktur selain mewujudkan pusat ekonomi di kawasan itu kerana kebanyakan penduduknya terbabit dalam aktiviti pertanian dan mengusahakan tanaman seperti kelapa sawit, lada hitam, nanas, durian serta manggis.

"Jadi, kalau tak ada pusat untuk rancakkan ekonomi (di sini) memang agak payah. Yang kita ada hanyalah pekan tapi itu di bawah N03 (Tanjong Datu) iaitu Pekan Lundu. Jadi, kita perlukan pusat sendiri.

"Kita ada banyak buah-buahan bermusim dan tidak bermusim. Dengan adanya pusat pentadbiran baharu, kita boleh wujudkan pusat pengumpulan untuk buah-buahan itu bagi (membolehkan) kita menyimpan (produk) sementara menunggu ia dipasarkan," katanya.

Billy, yang antara 24 calon muka baharu GPS, berkata kerjasama parti komponen penting bagi memastikan DUN Opar menjadi milik gabungan itu.

DUN Opar mempunyai sejumlah 11,436 pemilih berdaftar dengan 45.23 peratus atau 5,173 orang terdiri daripada mereka yang berumur lingkungan 30 hingga 49 tahun.

Turut bertanding bagi merebut kerusi itu ialah Mereng Biris (PKR), Saini Kakong (PBDSB), Bayang Telon (SEDAR) dan Freedy Misid (PBK).

Pada PRN Sarawak ke-11, Ranum menang dengan majoriti 2,082 undi menewaskan tiga pencabarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 1:59 PM