Uggah (gambar fail). FOTO Bernama
Uggah (gambar fail). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Dakwaan bekas Biskop Anglikan Kuching dan Brunei Datuk Bolly Lapok antara lain, bahawa jutaan ringgit diberikan kepada gereja di Sarawak kerana pembabitan secara langsung beliau dalam politik hanya tindakan mendabik dada, kata Timbalan ketua Menteri Amar Douglas Uggah Embas.

Menafikan dakwaan itu, Uggah, menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Hal Ehwal Agama Lain (Unifor) Sarawak berkata, dakwaan yang pelik untuk meraih populariti semata-mata menjustifikasi tindakannya menyertai pembangkang Parti Sarawak Bersatu (PSB).

"Kami tidak kisah langsung dia menceburi politik selepas bertahun-bertahun menabur bakti kepada Maha Esa. Tetapi kenyataan terbaru beliau kepada media tidak dapat diterima kerana langsung tidak mencerminkan siapa dia sebelum ini.

"Kenyataan itu sama sekali tidak bermaruah tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bolly, yang bersara sebagai paderi pada 2017, menyertai PSB pada 11 November lalu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 berlangsung dan ramai pihak meramalkan beliau diletakkan sebagai calon.

Bolly, bagaimanapun, dilaporkan berkata, beliau akan hanya berkhidmat kepada parti sebagai 'utusan khas' untuk berkempen bagi calon PSB pada pilihan raya itu, 18 Disember ini.

Semalam, portal berita dalam talian, 'The Vibes' memetik beliau sebagai berkata, impak langsung penyertaannya dalam politik, berjuta-juta ringgit disalurkan kepada gereja di Sarawak dan sekolah mubaligh Anglikan sudah memberi RM6 juta.

Mengulas isu ini, Uggah berkata untuk rekod, Unifor sudah menyalurkan bantuan kewangan kepada gereja, kuil dan gereja kecil sejak penubuhannya pada 2017 dan kerajaan negeri sejak tahun lalu sudah menambah peruntukan tahunannya kepada RM50 juta.

Menurutnya, pada Oktober lalu, kerajaan negeri diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluluskan peruntukan tambahan RM15 juta kepada sejumlah 127 sekolah mubaligh di seluruh negeri untuk menampung kos pentadbiran dan operasi khas.

Uggah berkata, sejumlah RM5 juta lagi diperuntukkan untuk membantu kesemua rumah ibadat terbabit yang menyaksikan pungutan sumbangan mingguan daripada penganut tersebut terjejas secara drastik akibat sekatan pergerakan pandemik Covid-19.

"Bagi bekas paderi yang mempunyai pangkat tinggi, Datuk Bolly untuk mendakwa bahawa menyertai PSB menyebabkan bantuan yang ada adalah satu pengajaran bingung dan mengarut.

"Beliau hanya menyertai PSB pada November lalu. Sama ada beliau disalah petik atau adakah dia mengalami khayalan keagungan yang pelik," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 10:20 PM