Shahar Abdullah menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Shahar Abdullah menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa mempergiat kawalan dan tindakan penguatkuasaan dalam usaha membendung ketirisan hasil cukai akibat aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras.

Timbalan Menteri Kewangan I Shahar Abdullah berkata, pelbagai aktiviti serbuan, rondaan darat dan air, sekatan jalan raya, pemeriksaan kapal, bot atau kenderaan, di samping melakukan pelbagai Operasi Khas dan Operasi Outlet Rokok dan Minuman Keras dilaksanakan oleh JKDM.

"Sehingga September lalu, Malaysia merekodkan sebanyak 2,518 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah yang bernilai RM41.43 juta, dengan jumlah kehilangan cukai sebanyak RM281.69 juta," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) berhubung kerugian hasil negara akibat aktiviti penyeludupan termasuk arak dan rokok.

Sepanjang tahun lalu, beliau berkata, JKDM merekodkan 2,842 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak sah yang keseluruhannya bernilai RM97.34 juta dan membabitkan nilai kehilangan cukai sebanyak RM707.14 juta.

Shahar berkata, sungguhpun negara menghadapi Covid-19, pelbagai usaha terus dipertingkatkan seperti menyertai Operasi Portcullis, merangka operasi Sepadu Marin Kastam, mengadakan Ops Benteng melalui pelaksanaan sekatan jalan raya dan melaksanakan Ops Pacak di tempat yang dikenal pasti.

Selain itu, katanya, JKDM juga turut menyediakan mesin pengimbas bagi setiap proses keluar masuk di seluruh negara, menyertai kerjasama dalam Multi-Agency Task Force (MATF) dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain serta perkongsian maklumat dan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta.

"Malaysia juga menjalin kerjasama antarabangsa melalui perkongsian maklumat perisikan antarabangsa dan operasi antarabangsa yang berkaitan rokok," katanya.

Menjawab soalan tambahan Nga mengenai dakwaan Malaysia menjadi syurga penyeludupan rokok haram, Shahar berkata, tindakan tegas yang memperketatkan kawalan ke atas aktviti pemindahan penghantaran rokok melalui pelabuhan negara sudah dilaksanakan.

"Kita mengehadkan aktiviti pemindahan penghantaran rokok di pelabuhan tertentu sahaja dengan hanya membenarkan lima pelabuhan iaitu North and West Port Klang, Tanjung Pelepas, Pelabuhan Senari dan Pelabuhan Sepanggar.

"Kita mengenakan cukai bagi rokok import bagi tujuan dieksport semula, cukai import dibayar balik, kita bagi pulang balik cukai bukan 100 peratus. Kita hanya bagi sembilan per sepuluh.

"Langkah tegas ini salah satu usaha serius kerajaan untuk mengurangkan ketirisan hasil cukai akibat penyalahgunaan kemudahan kedai bebas cukai yang sukar dikawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 1:00 PM