CALON DUN Stakan. FOTO Norsyazwani Nasri
CALON DUN Stakan. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


Kota Samarahan: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak(GPS), Datuk Hamzah Brahim menghadapi saingan empat penjuru bagi perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan pada Pilihan Raya Negeri(PRN) Sarawak ke-12 ini.

Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof itu ditentang Leslie Ting dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Atet Dego dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan George Young Si Ricord Junior dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pengawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Nizam Wang mengesahkan tidak ada nama calon yang ditolak dan semua layak bertanding.

"Bagi calon GPS Hamzah Brahim, SPR menerima borang penamaan yang diserahkan sekitar 9.01 pagi, calon DAP, Leslie Ting jam 9.07 pagi, calon PSB George Young Si Ricord Junior jam 9.10 dan calon PBK Atet Dego jam 9.14 pagi.

"Setelah tamat tempoh bantahan, SPR mengumumkan tiada calon ditolak kertas penamaannya," katanya di Pusat Penamaan Calon di Dewan Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak (IPGTAR), Kota Samarahan.

Pada PRN Ke-11 sebelum ini kerusi DUN Stakan dimenangi Datuk Amar Mohd Ali Mahmud yang memperoleh 8,820 undi menewaskan calon DAP, Leslie Ting Xiang Zhi dengan 1,778 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 12:28 PM