KERATAN laporan awal dan foto kecil kedua-dua arwah Muhammad Irfan dan Wan Qhuzairie. IHSAN pembaca
KERATAN laporan awal dan foto kecil kedua-dua arwah Muhammad Irfan dan Wan Qhuzairie. IHSAN pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


MUHAMMAD Irfan Aminuddin sempat jadi pengapit pengantin lelaki yang juga sepupunya di Dewan Jitra, Jitra, sebelum maut dalam kemalangan bersama rakannya, Wan Qhuzairie Wan Cik.

Anak sulung Exco Kedah itu dan rakannya maut apabila 4WD Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di KM12.7 lebuh raya PLUS, Changlun, dekat Kampung Bendang Perang, 4.30 petang, Sabtu.

Muhammad Irfan yang juga anak Exco Kedah, Datuk Aminuddin Omar bersama rakannya ketika itu dalam perjalanan dari Changlun ke Jitra selepas membeli lauk tambah untuk kenduri perkahwinan sepupupunya dikenali sebagai Nizam.

Mereka dikatakan bergerak dalam hujan lebat sehingga menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok.

Sepupunya, Nurul Nabila Ghazali, 20, berkata sebelum kejadian, Muhammad Irfan menjadi pengapit pengantin lelaki.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sedar bila agaknya arwah keluar bersama seorang lagi rakannya.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain hanya sedar mereka berdua tiada di tempat kenduri ketika sesi bergambar.

“Tapi selepas selesai bergambar dan ketika kami sedang berbual di meja tiba-tiba pengantin lelaki datang dan memberitahu Irfan dan rakannya kemalangan," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Jitra, di sini, malam tadi.

Pegawai Khas Exco, Shafarizal Baderon, pula berkata ketika kejadian Aminuddin berada dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Kubang Pasu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra.

"Bagaimanapun, sebaik mengetahui berita kemalangan itu, beliau (Aminuddin) terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya difahamkan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang selepas selesai membeli lauk tambah untuk kenduri itu dan saya nampak periuk lauk di lokasi.

"Muhammad Irfan adalah anak sulung daripada empat beradik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hijrah malam ini (Sabtu)," katanya.

Wan Chik Wan Yahaya, 51, iaitu ayah Allahyarham Wan Qhuzairie pula berkata, sudah seminggu beliau tidak bertemu anaknya itu.

“Saya tinggal di Pandang Chenderai, Padang Terap. Anak saya bekerja di Alor Setar. Kali terakhir dia pulang ke rumah seminggu lalu. Namun tidak menunjukkan perubahan pelik.

"Saya reda dengan ketentuan ini dan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Chenderai, malam ini juga (Sabtu)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dari Changlun menghala ke Jitra.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh pokok.

"Ketika polis tiba, kami mendapati mangsa sudah meninggal dunia. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita berkaitan

Sebak depan jenazah anak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 9:50 PM