Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerusi yang ditandingi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan peningkatan undi yang memberangsangkan, kata

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau turut berterima kasih kepada seluruh pimpinan dan ahli parti itu, begitu juga terhadap penyokong Perikatan Nasional (PN).

"Kita sudah berusaha yang terbaik. Semoga Allah ganjari usaha dan pengorbanan yang sudah diberikan.

"Kepada semua pengundi rakyat Melaka, terima kasih atas undian yang diberikan. Kerusi yang ditandingi oleh Pas menunjukkan peningkatan undi memberangsangkan," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi lima kerusi, manakala PN pula menang dua kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 4:46 PM