Awang Hashim, bersama penerima bantuan bakul makanan
Awang Hashim, bersama penerima bantuan bakul makanan
Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Seramai 2,759 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Pendang terjejas selepas 5,849 hektar sawah ditenggelami banjir sejak bulan lalu.

Pengerusi Mada, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, banjir itu berlaku akibat hujan lebat bermula 17 Oktober hingga 2 November lalu, dengan jumlah turunan antara 157 milimeter (mm) hingga 331 mm diikuti fenomena air pasang besar bermula 4 hingga 7 November lalu.

Katanya, Mada sudah memanjangkan laporan berkaitan bencana yang melanda berkenaan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi mendapatkan pertimbangan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi untuk pesawah terjejas.

"Bancian sudah mula dibuat di kawasan bencana terbabit bagi menentukan kerosakan yang berlaku kepada kawasan sawah sebelum ia akan dihantar ke Jawatankuasa Teknikal untuk pertimbangan mendapatkan bantuan.

"Bagi bantuan benih padi pula, kita sudah berhubung dengan pengeluar di kawasan Mada dan mereka memberi jaminan bekalan benih cukup untuk petani membuat tanaman semula di kawasan yang sebelum ini dilanda banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI-Prihatin Mada kepada 618 pesawah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada, Titi Haji Idris, di sini, hari ini.

Hadir bagi menyerahkan bantuan itu adalah Ahli Parlimen Pendang merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya sudah melaksanakan 78 Program MAFI Prihatin sejak Januari lalu, di seluruh kawasan Mada dengan jumlah penerima sumbangan adalah seramai 8,776 petani dengan peruntukan sebanyak RM664,443.

Katanya, penerima sumbangan itu terdiri daripada petani yang terjejas dengan bencana alam dan terkesan disebabkan pandemik Covid-19 serta petugas barisan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 4:37 PM