SAMPAH yang dibuang merata-rata di pantai Teluk Senangin. FOTO ihsan pembaca
SAMPAH yang dibuang merata-rata di pantai Teluk Senangin. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung membuang sampah merata-rata selain monyet menyelongkar tong sampah menyebabkan sekitar kawasan pantai peranginan di Teluk Senangin, di sini, terjejas dan kotor.

Beberapa gambar menunjukkan sampah seperti botol minuman, plastik makanan ringan, pinggan polisterin dan plastik berselerakan di sekitar kawasan destinasi perkelahan popular itu tular di media sosial sejak kelmarin.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, kutipan sampah di pantai berkenaan meningkat dua kali ganda sejak kebenaran aktiviti riadah dan rentas negeri berikutan ia dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu.

Bagaimanapun katanya, pembersihan dilakukan setiap hari di pantai berkenaan dan gambar yang tular itu diambil sebelum pekerja kontraktor pembersihan melakukan aktiviti pembersihan.

"Gambar sampah yang tular itu berlaku pada cuti hari minggu dan perayaan Deepavali lalu. Sampah yang dikutip dianggarkan 250 kilogram (kg). Ia berat sama yang dikumpulkan pada setiap Sabtu dan Ahad.

"Situasi ini berlaku disebabkan pertambahan pengunjung sempena Deepavali. Selain itu, kebenaran rentas negeri dan terdapat aktiviti perkhemahan pada malam hari turut menyumbangkan longgokan sampah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemerhatian pihaknya mendapati jumlah tong sampah yang disediakan mencukupi, malah ada tong sampah yang tidak penuh tetapi sampah tetap diletakkan di tepi tong.

Katanya, tindakan monyet menyelongkar sampah juga menyebabkan ia bertaburan dan kawasan sekitar pantai itu terjejas dan kotor.

"Sebelum rentas negeri dibenarkan, isu monyet tidak timbul kerana tiada pengunjung datang ke pantai dan tiada aktiviti pembuangan sampah di pantai," katanya.

Syamsul Hazeman berkata, susulan itu, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya pengunjung didapati membuang sampah merata-rata.

"Mereka perlu menjadi pengunjung yang bijak dan bertanggungjawab menjaga kebersihan. Jangan sesuka hati membuang sampah merata-rata dan perlu menggunakan kemudahan tong sampah yang sudah disediakan.

"Kita juga akan melakukan pemantauan dengan menambah bilangan anggota dan waktu rondaan terutama pada waktu puncak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 2:31 PM