KUMPULAN monyet liar yang menceroboh dan menyelongkar rumah. FOTO Ihsan Pembaca
KUMPULAN monyet liar yang menceroboh dan menyelongkar rumah. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


KEHIDUPAN harian penduduk Kampung Baharu, Lumut semakin tertekan berikutan ‘serangan’ puluhan monyet yang menceroboh rumah dan menyelongkar untuk mencari makanan sejak tiga tahun lalu.

Seorang penduduk, Shamsiah Husin, 67, berkata, tindakan agresif kumpulan monyet liar itu turut menyebabkan bumbung, siling dan tingkap rumahnya rosak.

Menurutnya, mereka terpaksa ‘merelakan’ monyet menceroboh rumah dan bersiap sedia dengan kayu sebagai langkah keselamatan kerana haiwan itu akan melawan dan datang semula dengan banyak jika melawan.

“Gara-gara monyet bumbung rumah berlubang, dan saya menerima bantuan untuk membaiki kerosakan itu tetapi tak sampai setahun ia kembali rosak dikerjakan haiwan terbabit.

“Malah, saya juga terpaksa menangguh hasrat untuk membaiki kerosakan rumah kerana perlu mengutamakan kos rawatan suami yang menjalani dialisis,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Warga emas, Rakiah Abdul Aziz, 70, berkata, hampir setiap hari dia akan membersihkan beranda rumahnya yang dicemari air kencing dan najis monyet.

“Monyet buat rumah kami macam tempat bermain, melompat atas bumbung dan membuang najis merata-rata sehingga menyebabkan kawasan sekitar rumah busuk,” katanya.

Sementara, Zalliza Othman, 43, mengakui hilang sabar dengan perbuatan monyet yang sering menyelongkar serta melarikan makanan sehingga menyebabkan rumahnya berselerak dan kotor.

Menurutnya, kehadiran kumpulan monyet dari hutan paya bakau berhampiran semakin serius selepas projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Teluk dan Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dijalankan.

“Pernah puluhan monyet datang berkumpulan dalam satu masa dan haiwan ini tidak menunjukkan rasa takut kepada manusia, malah menunjukkan ‘taring’ mereka seperti ajak bergaduh.

“Penduduk ketakutan malah pernah ada penunggang motosikal dikejar dua monyet jantan yang mahu menggigit kakinya selain haiwan itu turut menyergah kanak-kanak,” katanya.

Katanya, mereka sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkaitan namun mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil.

“Pihak berkaitan memaklumkan mereka sudah membawa masalah ini kepada pihak berkuasa tetapi sehingga kini tiada tindakan yang diambil.

“Kami mohon bantu kami kerana sudah tidak tahan diganggu monyet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 3:00 PM